Friday, October 2, 2009

*Cinema Malaysia: Astro Prima siarkan dokumentari tragedi Pos Dipang

ASTRO meneruskan lagi inisiatif dan komitmennya dalam memberi sokongan terhadap memperkukuhkan nilai-nilai sejarah kepada rakyat Malaysia dengan mempersembahkan dokumentari hebat menerusi platform Suatu Ketika berjudul Suatu Ketika… Pos Dipang. pada bulan ini.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata pada setiap bulan, saluran ini memilih sebuah tajuk dokumentari yang dilihat sesuai untuk dikongsi bersama-sama penonton.

“Setakat ini, kami mendapat maklum balas positif daripada orang penonton mengenai inisiatif yang kami usahakan sejak siaran sulung dokumentari di platform Suatu Ketika berjudul Suatu Ketika…Rosli Dhoby.


“Dokumentari‘Suatu Ketika…Rosli Dhoby juga berjaya mendapat Anugerah Dokumentari Ilmiah Terbaik di Festival Dokumentari Malaysia 2009 baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya, dalam setiap dokumentari yang dihasilkan, pihaknya akan berusaha untuk mendapatkan bahan dan maklumat yang lengkap serta temuramah daripada mereka yang pernah terbabit secara langsung dengan kejadian yang dipaparkan.

“Ini bagi menghidupkan lagi dokumentari pilihan. Temuramah dan pengalaman yang diceritakan oleh mereka yang pernah terbabit dalam setiap kejadian ternyata berjaya memberi impak yang lebih mendalam kepada para penonton bagi menyelami sendiri kejadian yang pernah berlaku,” katanya lagi.

Bagi menjayakan dokumentari ’Suatu Ketika...Pos Dipang’ ini, kerjasama daripada mangsa kejadian banjir lumpur itu sendiri berjaya dicari bagi menceritakan detik-detik cemas semasa kejadian.

Bukan itu saja, pasukan penerbitan juga berjaya menemuramah barisan penyelamat yang bertugas ketika itu seperti angkatan tentera, dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan pasukan penyelamat lain dalam operasi menyelamat mangsa banjir itu sendiri.

Temuramah ini dilakukan ekslusif bagi menjayakan dokumentari ini.

Di akhir dokumentari ini, penonton boleh membuat kesimpulan tersendiri sama ada kejadian yang pernah berlaku ini berpunca daripada kerakusan sikap manusia yang tidak prihatin atau disebabkan oleh kejadian alam yang tidak boleh dielakkan.

Dokumentari Suatu Ketika...Pos Dipang akan memaparkan bagaimana kerakusan manusia, membawa kebinasaan kepada insan lain. Tragedi Pos Dipang pada tahun 1996 meninggalkan sejarah hitam kepada negara.

Bencana alam datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Ada sesetengah bencana ini boleh dijangkakan manakala sebahagian lainnya tidak. Inilah yang berlaku di Pos Dipang, Kampar, Perak. Tragedi banjir lumpur yang secara pada 29 Ogos 1996, kira-kira jam 6 petang yang mengorbankan 44 mangsa .

Jangan lupa untuk saksikan dokumentari Suatu Ketika...Pos Dipang pada hari Ahad ini, 4 Oktober 2009, jam 6.30 petang di Astro Prima dan lapan episod drama bersiri yang akan menceritakan semula kejadian sebenar dalam bentuk fiksyen menerusi Korban 44 di Astro Citra pada setiap hari Rabu & Khamis, jam 9.00 malam bermula 7 Oktober.

No comments:

Post a Comment