Friday, October 2, 2009

FILEM MALAYSIA: WAN RAJA & ARJA DISATUKAN ..... DALAM BOTOL

“Di katil kelihatan Ghaus dengan hanya memakai boxer short sedang baring sambil hisap rokok. Ruby yang memakai nighty seksinya sedang menghamipiri suiz lampu bilik. Ruby matikan suiz lampu bilik, tapi lampu meja di tepi katil masih menyala. Dalam samar-samar lampu meja yang romantis, Ruby datang berdiri tepi katil depan Ghaus dengan penuh rasa bahagia. Ghaus dengan pantas merangkul pinggul Ruby menghampirinya. Ghaus hendak menyentuh bahagian anu Ruby, tetapi tak sempat kerana Ruby mengelak dengan laju.” – petikan dari skrip filem ..... Dalam Botol.

”Kaum Luth telah mendustakan para Rasul. Ketika saudara mereka Luth berkata kepada mereka, Mengapa kamu tidak bertakwa? Sungguh, aku ini seorang rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu, maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepada ku. Dan aku tidak meminta upah kepadamu atas ajakan itu, upahku hanyalah dari Tuhan seluruh alam. Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki (Homoseks) di antara manusia dan kamu tinggalkan (perempuan) yang diciptakan Tuhan untuk dijadikan sebagai isteri kamu? Kamu memang orang-orang yang melampau batas. Mereka menjawab, Wahai Luth! Jika engkau tidak berhenti, engkau termasuk orang-orang yang terusir. Dia (Luth) berkata, Aku sungguh benci kepada perbuatanmu”. - Surah Asy-Syuara ayat 160 – 168.

Pada 2 September lalu telah berlangsungnya majlis pengumuman pelakon utama yang akan membawa watak Ruby dan Ghaus dalam filem ... Dalam Botol terbitan Raja Azmi dibawah syarikatnya Pengedaran Jas Sdn. Bhd. Buat pertama kali seorang produser filem tempatan memberikan segala kuasa pemilihan watak utama kepada peminat filem tempatan menerusi pertandingan yang dijalankan melalui suatu laman portal hiburan tempatan. Mereka telah sebulat suara memilih Arja Lee untuk membawa watak Ruby @ Robert menepikan pelakon Ady Putra dan Kefli AF3 yang juga antara nama yang disenarai pendekkan untuk watak itu. Manakala bagi watak Ghaus pula telah diberikan kepada Wan Raja yang merupakan muka baru dalam dunia lakonan layar perak tetapi tidak asing di pentas teater yang menepikan pelakon berpengalaman seperti Norman Hakim dan Fauzi Nawawi. Setelah mengumumkan keputusan, hos majlis tersebut terus mengajukan pertanyaan kepada Raja Azmi tentang reaksi beliau pemilihan pelakon bagi filemnya itu. Beliau dengan secara terbuka menyuarakan perasaan tidak puas hati keputusan akhir pemilihan pelakon tersebut yang pada awalnya jika mengikut kehendak beliau watak tersebut ingin diberikan kepada Norman Hakim dan Ady Putra. Tetapi pengundi telah menyuarakan kehendak mereka jadi beliau terpaksa akur dan hormati keputsan itu katanya.

"Tujuan saya mengadakan pertandingan ini adalah untuk memberi nafas baru didalam industri perfileman tanahair kita. Dengan adanya pertandingan sebegini saya telah memberikan suara buat peminat filem tempatan untuk menjadi sebahagian di dalam pembikinan filem ini dengan memilih pelakon utama yang mereka inginkan untuk membawa watak itu. Saya tidak mahu nanti di kemudian hari jika filem ini kurang memberi sambutan saya yang akan dipersalahkan sebab salah memberikan watak tersebut kepada pelakon yang tidak sesuai. Dengan cara ini saya memenuhi kehendak mereka dan akan berkerja kuat untuk membentuk dua pelakon tersebut supaya dapat memenuhi keperluan dua watak itu nanti." katanya.

Menurut kata produser itu kerja-kerja promosi bagi filem ini telah dijalankan sejak tahun lalu apabila selesai menyiapkan skrip tersebut. Perbelanjaan sebanyak RM100,000 dilaburkan untuk kerja-kerja promosi termasuk kos pencarian pelakon dengan mengadakan ujibakat yang diadakan di Studio FINAS.

“Tujuan utama filem ini dihasilkan ialah mesej agama yang terdapat di penghujung filem tersebut. Jadi jika pihak kerajaan yang dengar khabar berita akan haramkan filem-filem bercorak sebegini saya akan membangkang dengan sekeras-kerasnya kerana tidak membenarkan kami untuk berkarya. Jangan hukum kami kerana itu realiti kehidupan yang sedang berlaku dalam masyarakat kita. Mengikut kajian sehingga penghujung tahun 2008 sebanyak 50,000 pondan telah menukar jantina dan jika dibiarkan ini berterusan ia boleh meningkat sehingga 70,000 pada akhir tahun 2009. Saya sangat berharap supaya hasrat filem ini tercapai.” katanya.

Bagi Wan Raja pula mandat yang telah diberikan oleh pengundi kepada dirinya untuk mendokong watak itu tidak dijangka sama sekali. Pelakon berusia 31 tahun ini yang berlatarbelakangkan seni lakon teater, Saiful Rizuan Abu Bakar atau Wan Raja telah menceburi bidang lakonan selama 9 tahun.

Ruby Dan Ghaus

”Saya memang tidak akan sia-siakan peluang yang telah diberikan kepada saya dan akan mengambil ini sebagai satu cabaran dan batu lonjatan untuk kembangkan bakat yang ada. Membawa watak seorang lelaki bisexual ini bukan suatu watak yang mudah untuk dihayati. Banyak rujukan yang perlu dibuat untuk menyiapkan diri saya membawa watak itu diantaranya dari filem Brokeback Mountain dan Soldiers Girl. Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk berikan komitmen yang terbaik supaya mesej pengajaran itu sampai menerusi filem ini.” katanya.

Manakala pemegang watak Ruby, Arja Lee atau nama penuhnya Azharudin Ramli, menyangkakan watak itu akan dapat kepada Kefli AF3. Tambahnya lagi pelakon itu juga mempunyai ciri-ciri muka yang lebih ’jambu’ berbanding dengan dirinya. Tetapi rezeki telah memihak kepadanya dan bersedia untuk memberikan yang terbaik buat filem ini.

Filem .... Dalam Botol ini mengisahkan pasangan Rubidin dan Ghaus sepasang kekasih sejenis yang sedang hangat bercinta. Oleh kerana Rubidin yang sangat menyintai Ghaus dia sanggup berkorban melakukan pembedahan jantina apabila dia mengesyaki Ghaus semakin menggemari kaum perempuan. Tetapi Ghaus tidak dapat terima Rubidin sebagai perempuan dan menyingkirkan Rubidin dari hidupnya. Rubidin pula yang kecewa dengan hidupnya kembali kepada identiti asalnya sebagai lelaki dan jatuh cinta dengan Dina. Mereka gembira bermadu cinta sebagai pasangan normal. Namun, kebahagiaan tidak kekal lama apabila Dina dapat tahu yang Rubidin tidak lagi memiliki kelelakiannya.

No comments:

Post a Comment